KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akhirnya membuka mulut berhubung isu warkah dikirimkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Reaksi yang dinantikan semua pihak itu menyusul selepas empat hari Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menerima warkah berkenaan.
Menerusi Twitternya, Nurul Izzah menjelaskan surat itu mempunyai niat baik tetapi menegaskan ia amat tidak wajar dan merendah-rendahkan martabatnya.
Good intentions notwithstanding, I have actually informed Dato the public letter was inappropriate and condescending. Best we all focus on real issues. https://t.co/puH1VOIz4J— Nurul Izzah (@n_izzah) December 29, 2018
“Niat yang baik walaupun sebenarnya saya sudah memaklumkan kepada Dato, bahawa surat terbuka adalah tidak sesuai dan merendahkan-rendahkan diri, sebaiknya kita memberi tumpuan kepada isu-isu sebenar," kata Nurul Izzah.
Selasa lalu, Mujahid menulis surat terbuka itu supaya anak sulung Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memikirkan semula keputusannya yang meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.
Beliau menulis surat berkenaan menerusi Facebook, ketika dalam perjalanan dari bandar bersejarah Cordova ke Madrid.
Dalam warkah itu Mujahid membahaskan dirinya ‘kekanda’ untuk merujuk kepada dirinya dan ‘adinda’ untuk merujuk kepada Nurul Izzah.