MalaysiaBaru.org - Membina Malaysia Baru. - All Post

Advertisement

hicore

KUALA LUMPUR: Malaysia mengalami kerugian RM47 billion daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) sepanjang tahun lepas disebabkan gejala rasuah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata amaun yang hampir sama, yakni nilai sekitar empat peratus daripada KDNK dicatatkan hilang disebabkan rasuah setiap tahun sejak 2013 menurut Transparency International Malaysia.

"Apa yang kita boleh buat dengan RM47 billion? Ia adalah jumlah yang lebih besar daripada apa yang kita belanjakan untuk pendidikan, dan hampir dua kali ganda jumlah yang dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan tahun lepas. Bayangkan apa yang kita boleh buat jika kita ada akses kepada wang ini; jika ia digunakan untuk membaiki jalanraya yang berlubang, melegakan kesesakan di hospital awam kita atau menyediakan biasiswa kepada mereka yang layak untuk maju dalam pelajaran?

"Bayangkan jika semua golongan yang lemah dalam masyarakat kita – wanita dan kanak-kanak – tidak perlu bergantung kepada rasuah dan “kenal orang dalam” untuk mendapatkan perkhidmatan yang mereka perlukan,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di forum United Against Corruption: Anchoring Anti-corruption In Good Governance Forum, di sini, Isnin.

Beliau berkata hakikatnya berbeza daripada pandangan ramai, rasuah sebenarnya bukan hanya berlaku di peringkat tertinggi kerajaan sahaja.

“Laporan PricewaterhouseCooper pada tahun 2016 menunjukkan aktiviti rasuah di kalangan syarikat-syarikat swasta di Malaysia naik daripada 9 peratus pada tahun 2014 kepada 30 peratus pada tahun 2016. Di peringkat bawah lagi, anda akan lihat contoh-contoh dalam aktiviti harian seperti cuba merasuah untuk mengelak daripada saman trafik,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata pentadbiran kerajaan bertukar dengan pantas pada bulan Mei lepas, namun masa yang panjang akan diperlukan oleh kerajaan untuk menangani gejala rasuah yang sudah menjadi ‘endemik' ini.

“Saya tidak boleh bermimpi yang perubahan akan berlaku dalam sekelip mata, tapi saya yakin pakatan baru yang bekerjasama dalam usaha menumbangkan rejiim kleptokratik, akan bertungkus lumus untuk melaksanakan pembaharuan institusi yang berkekalan, yang akan melindungi kepentingan semua rakyat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu mengukuhkan institusi penguatkuasa, mengemaskini tatacara yang meliputi semua Anggota Parlimen dan penjawat awam, memastikan saringan integriti ditetapkan sebagai standard bagi mereka yang berhasrat untuk berkuasa, dan menghindari perlakuan melobi ikut ‘pintu belakang' oleh pihak industri.

Pada masa yang sama Wan Azizah menolak dakwaan sesetengah pihak yang beranggapan bahawa kerajaan yang memberikan banyak tumpuan kepada usaha membanteras rasuah berbanding ekonomi, akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang lemah.

“Saya tegaskan di sini, kedua-dua perkara itu bukan bersifat eksklusif. Usaha kita yang berkekalan bagi membaiki akauntabiliti dan ketelusan, bertindak sebagai daya penarik kepada pelaburan mapan yang akan membantu kita berkembang maju,” katanya.

Katanya beliau bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang bekerja keras menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah, di mana Pusat Urus Tadbir, Integriti, dan Anti Rasuah (GIACC) adalah Sekretariatnya, bagi menampilkan dasar-dasar serta inisiatif baharu bagi membanteras rasuah.

“Kami juga sedang menyediakan deraf lima tahun Rancangan Anti Rasuah Kebangsaan di bawah GIACC yang akan menjadi pelan holistik dalam perjuangan berterusan membasmi rasuah dan bersetuju untuk menyumbang RM500,000 kepada Pertubuhan Antarabangsa Pihak Berkuasa Anti Rasuah (IAACA), yang akan membantu dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan anti rasuah,” katanya.

Beliau berkata usaha ini sudah mulai menampakkan hasil, antaranya apabila Malaysia ditempattkan di tangga keempat daripada 12 ekonomi Asia Pasifik dari segi akauntabiliti dan ketelusan pasaran berdasarkan kepada laporan Persatuan Urus Tadbir Korporat Asia tahun ini.

Selain itu katanya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan peningkatan 379 peratus kelulusan dalam Pelaburan Langsung Asing (FDI) dalam tempoh dari bulan Mei sehingga September.

“Ini adalah petunjuk-petunjuk yang ekonomi sedang berkembang maju,” katanya. - Bernama  



UPDATE: CIMB beri jaminan transaksi atas talian mereka selamat


KUALA LUMPUR: CIMB Bank Berhad memberi jaminan bahawa portal perbankan dalam taliannya, CIMBClicks, masih selamat dan semua urus niaga pelanggan dilindungi.


Menerusi satu kenyataan media, CIMB memaklumkan telah memperkenalkan beberapa langkah tambahan untuk meningkatkan keselamatan transaksi menerusi CIMBClicks.
 

"Selain daripada memastikan sistem kini dapat menampung kata laluan lebih daripada lapan aksara kepada 20 aksara, kami juga telah menambah langkah keselamatan reCaptcha pada sistem CIMBClicks," kata kenyataan itu.

Hujung minggu lalu, media sosial kecoh dengan aduan daripada pelanggan yang mendakwa kehilangan wang selepas akaun CIMBClicks mereka diceroboh.

Mereka juga mendakwa berjaya log masuk ke akaun, biarpun menggunakan kata laluan yang tidak disahkan.

 

Makam ini dipercayai wujud ketika zaman pemerintahan Firaun ketiga, Neferirkare Kakai, iaitu dari Dinasti Kelima Kerajaan Mesir Kuno.

SAQQARA: Mesir pada Sabtu mengumumkan tentang penemuan sebuah makam usang berusia 4,400 tahun yang masih dalam keadaan baik, lengkap dengan ukiran hieroglif dan patung-patung kuno, di selatan Kaherah.

Reuters melaporkan, sumber rasmi memberitahu bahawa lebih banyak penemuan dijangkakan apabila pasukan arkeologi terus menjalankan kerja-kerja ekskavasi untuk beberapa bulan seterusnya.

Makam itu tertimbus di bawah runtuhan rabung di kota kompleks pemakaman atau nekropolis Saqqara. Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti, Mostafa Waziri, berkata makam itu tidak pernah diceroboh dan tidak pernah berlaku sebarang kecurian.

Mostafa malah menyifatkan makam usang itu ‘sebuah penemuan penting abad ini dan lain daripada yang lain’.

Makam itu dipercayai wujud ketika zaman pemerintahan Neferirkare Kakai, iaitu Firaun ketiga dari Dinasti Kelima kerajaan kuno.

Ahli arkeologi pada Khamis berjaya membuat pembersihan fasa akhir makam itu lantas menemui lima laluan atau ruang. Salah satu ruang itu tidak berkunci dan tidak menyimpan sebarang objek, manakala empat lagi tertutup.

Mereka menjangka dapat menemui sesuatu apabila kerja mencari gali disambung pada Ahad.

"Saya tidak dapat membayangkan objek-objek yang dapat ditemui di kawasan ini.

“Ruang ini mungkin menyimpan keranda atau keranda batu pemilik makam,” ujarnya yang optimis tentang salah satu laluan ke ruangan itu.

Tambahnya, makam itu sepanjang 10 meter, selebar 3 meter dan berketinggian sedikit kurang dari 3 meter.
Dindingnya dihiasi ukiran hieroglif dan patung-patung firaun yang masih baik keadaannya.

“Warnanya masih utuh meskipun sudah berusia hampir 4,400 tahun,” katanya yang turut memberitahu, kerja-kerja ekskavasi akan digandakan pada Januari.

Dinasti Kelima memerintah Mesir sejak tahun 2,500 sehingga 2,350 Sebelum Masihi, iaitu tidak lama selepas pembinaan Piramid Besar Giza.

Selama lebih daripada dua milenium, Saqqara berfungsi sebagai nekropolis bagi Memphis, iaitu ibu kota Mesir kuno.- Awani


Nabi pun pernah terpaksa tangguh janji, kata Khalid

Nabi pun pernah tidak dapat menunaikan janji, apatah lagi manusia biasa - itu jawapan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad terhadap cakap-cakap mengenai janji manifesto Pakatan Harapan (PH) yang belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Kata Khalid, kegagalan menunaikan janji itu bukanlah disengajakan, sebaliknya akibat kekangan semasa iaitu kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi.

“Ada orang kata, kita tidak tunaikan janji.

"Nabi SAW pun dulu pernah bawa sahabat dari Madinah nak ke Mekah, (baginda) berjanji nak buat umrah, tetapi dihalang. Sampai di Udaibiyah, tidak dapat.

“Itu nabi! Apalah janji manifesto yang dibuat oleh manusia biasa," katanya.

Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam menegaskan PH memang komited mahu melaksanakan semua janji yang diikrarkan mereka sebelum pilihan raya umum lalu.

“Memang kita nak buat, tapi tak boleh, duit tak cukup.

"Bukan kerana Mat Sabu (Mohamad Sabu) belikan beg tangan Birkin untuk Kak Normah (isteri Mohamad),” katanya disambut tawa hadirin.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sebagai pengarah komunikasi di Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Hotel Casuarina, Ipoh hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid menjelaskan menteri-menteri sendiri terpaksa mengorbankan gaji dan elaun sebagai langkah penjimatan memandangkan keadaan kewangan negara yang teruk.

“Menteri sudah potong 10 peratus (gaji), elaun kita dalam parlimen kita dah potong. Banyak lagi kita dah potong. Ada rumah (sekalipun), duduk di kuarters dan potong RM4,000 sebulan.

"Kerana apa? Nak jimatkan duit. Duit tak ada. BN kata hutang hanya RM600 bilion, tetapi PH kata hutang ialah RM1 trilion. Kalau nak percaya BN, percayalah,” katanya.

Malah menurut Khalid, ada sesetengah pihak mempunyai tanggapan salah bahawa menteri menikmati kehidupan mewah sedangkan hakikatnya tidak sebegitu.

“Janganlah buat andaian (bahawa) menteri-menteri sedang berseronok- elaun banyak, gaji banyak.

“Saya bagitahu tuan-tuan, tiap-tiap bulan gaji saya tak sampai RM1,000 (yang) tinggal.

“Kerana apa? Kerana parti hendakkan duit, orang hendakkan duit. Semua hendakkan duit,” katanya lagi.

Berikut merupakan ulasan Mufti Perlis, Dr Maza:


SHAH ALAM: Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield perlu memulangkan semua tanah dan wang pampasan yang diterima pemaju sebelum ini.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata ia membabitkan tapak tanah seluas 0.405 hektar (1 ekar) dan wang pampasan berjumlah RM1.5 juta.
 

“Kerajaan Negeri Selangor berpandangan tapak tanah dan wang pampasan yang diberikan oleh pemaju haruslah dipulangkan semula sebagai sebahagian daripada penyelesaian yang dicadangkan oleh Peguam Negara. “Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik kenyataan Peguam Negara berkenaan isu Kuil Seafield dan bersetuju dengan penyelesaian yang dicadangkan oleh Peguam Negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Peguam Negara, Tommy Thomas, bertarikh 14 Disember berhubung isu kuil terbabit.

Tommy dalam kenyataannya berkata, tertakluk kepada terma dipersetujui, One City Development Sdn Bhd akan memindah hak milik plot tanah seluas satu ekar terletaknya Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya kepada pemegang amanah yang akan diuruskan oleh Mahkamah Tinggi.

Menurutnya, pada awal minggu ini terdapat pertemuan dengan peguam daripada pelbagai pihak yang terbabit dalam kekecohan baru-baru ini di kuil itu dengan pihaknya.

Tommy berkata, beliau menyokong beberapa cadangan penyelesaian yang dikemukakan di dalam pertemuan itu. “Sebagai Peguam Negara saya akan memohon kepada Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956 untuk melantik pemegang amanah bagi menguruskan amanah dan kuil itu. “Mahkamah Tinggi akan melantik pemegang amanah daripada seorang yang mempunyai reputasi yang baik dan berintegriti serta boleh diterima oleh semua pihak yang bertelagah sebagai pegawai mahkamah yang mempunyai kawalan terhadap pemegang amanah kuil,” katanya.

Beliau berkata, pada masa yang sesuai Mahkamah Tinggi akan diminta memindahkan hak milik kuil itu kepada pemegang amanah.

Share This Article

Comment

Tun Dr Mahathir Official YouTube Channel