Kepintaran beliau dalam merencanakan politik di Malaysia penuh dramatik sehingga mampu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah 61 tahun memerintah negara.
BN yang ditunjangi parti keramat orang Melayu, UMNO, gagal buat pertama kali dalam sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) untuk mengekalkan kuasa mentadbir Malaysia.
Walaupun PRU-14 telah selesai lebih dua minggu lalu, namun cerita politik masih menjadi topik utama bagi setiap lapisan masyarakat untuk dibincangkan sama ada di pejabat, di dalam kenderaan, sekolah, kedai dobi, kedai kopi, ketika menunggu waktu berbuka puasa dan sebagainya.
Penangan PRU-14 cukup besar. Ia seolah-olah mengajar semua orang mengenai demokrasi yang sebenar. Sama ada suka atau tidak, kita perlu menghormatinya kerana inilah yang telah diputuskan rakyat.
Cukuplah dengan cerita imbasan. Fokus kita sekarang ialah untuk mara ke hadapan bersama kepimpinan Mahathir. Apatah lagi Wawasan 2020 yang menjadi visi utama Perdana Menteri ketika memerintah selama 22 tahun antara tahun 1981 hingga 2003 hanya tinggal dua tahun lagi untuk direalisasikan.
Operasi pembersihan
Sebaik mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 10 Mei lalu, Mahathir tidak berlengah untuk memulakan ‘operasi pembersihan’.
Buat permulaan, Mahathir telah melantik Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (Menteri Kewangan); Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri).
Beliau kemudian telah mengeluarkan arahan melarang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke luar negara sebelum mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan yang dianggotai Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Marican, Tan Sri Robert Kuok dan Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram.
Perdana Menteri kemudian mempengerusikan mesyuarat bersama ketua-ketua setiausaha kementerian di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Pada 14 Mei dan seterusnya, berlaku banyak perkara yang memeranjatkan apabila Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali diumumkan akan bercuti dan diganti oleh Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek berkuat kuasa serta-merta.
Tan Sri Dzulkifli Ahmad meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kontrak perkhidmatan Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan dipendekkan kepada 14 Jun serta dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam.
Pengauditan
Kerajaan juga telah mengklasifikasikan laporan pengauditan 1MDB sebagai dokumen terbuka sebelum Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan selepas mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong.
Kerajaan kemudian mengumumkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar bermula 1 Jun 2018 untuk menggunakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan memulakan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan memeriksa kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.
Selain empat menteri kanan, turut dilantik menjadi menteri Persekutuan termasuk Maszlee Malik (Menteri Pendidikan); Rina Mohd. Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar); Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi); Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Anthony Loke (Menteri Pengangkutan).
Turut dilantik ialah Gobind Singh Deo (Menteri Komunikasi dan Multimedia); M. Kulasegaran (Menteri Tenaga Manusia); Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Dr. Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan).
Di samping mengumumkan GST pada kadar sifar, satu lagi berita gembira ialah kerajaan turut mengekalkan harga minyak pada kadar RON95 (RM2.20), RON97 (RM2.47) dan diesel (RM2.18) seliter ketika harga minyak dunia meningkat kepada AS$70 setong (RM278.99).
Terbaharu, kerajaan telah membubarkan beberapa agensi dan institusi berkaitan kerajaan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Hal Ehwal Khas, Majlis Profesor Negara dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan.
Skrip kepimpinan Mahathir dahulu dan kini tentulah berbeza. Sepanjang memegang kuasa antara 1981 hingga 2003, beliau mempunyai pengaruh kuat dan ia terbukti menerusi lima PRU yang diketuainya iaitu pada 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999 Barisan Nasional (BN) sentiasa berjaya mendapat majoriti dua pertiga.
Mengulas mengenai perkembangan itu, Presiden Gerakan Antarabangsa Sedunia, Dr. Chandra Muzaffar berkata, persekitaran politik buat Mahathir kini berubah dan berbeza sama sekali.
Katanya, pendekatan dan cara mengendalikan rakyat serta kerajaan kini sudah berubah berbanding ketika era pemerintahan 22 tahun lalu.
Aura
“Dahulu, Mahathir merupakan ketua gabungan yang bukan sahaja mempunyai kuasa tetapi kukuh untuk memerintah negara dengan majoriti dua peratus. Ketika itu dominasi Dr. Mahathir begitu jelas walaupun tidak dinafikan terdapat beberapa krisis namun ia berjaya diselesaikan dengan baik dan semua orang berpuas hati.
“Namun kini, Mahathir sendiri telah menumpaskan kerajaan BN dan bertindak pula sebagai ketua kepada gabungan empat parti politik iaitu PPBM, DAP, PKR dan Amanah,” katanya kepada Jurnal baru-baru ini.
Tambahnya, personaliti, pengalaman, aura dan ciri-ciri kepimpinan Mahathir telah ‘menyelamatkannya’ untuk diangkat sebagai ketua walaupun beliau merupakan pendatang baharu di dalam gabungan tersebut.
Menurut Chandra, ia jelas menunjukkan bahawa kebanyakan sokongan diperoleh daripada penyokong ketiga-tiga parti lain dalam Pakatan Harapan kerana PPBM tidak mempunyai pengikut yang ramai kerana ia baru sahaja ditubuhkan.
“Jika dahulu, Mahathir boleh membuat keputusan terus dan secara mutlak, tetapi kini beliau perlu mengambil kira pendapat pemimpin parti lain,” katanya.
Ujar Chandra, ketika menjadi Perdana Menteri keempat, Mahathir diangkat atas kapasitinya yang tersendiri dalam menangani pelbagai isu termasuk krisis mata wang pada 1998 dan kedaulatan negara tetapi kini beliau dipilih berdasarkan gelombang suara pengundi yang mahukan perubahan disebabkan tertekan dengan pelbagai isu yang menghimpit mereka.
“Gelombang itu berhubung kait dengan rasa tidak puas hati ke atas penjelasan dan cara menanganinya seperti isu ketelusan, kos sara hidup, GST, kebolehpercayaan, pekerjaan, pengangguran, 1MDB, urus tadbir, rasuah, penyelewengan dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, selain itu, pemerintahan Mahathir untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga terpaksa menangani isu-isu tumpuan yang menjadi keresahan rakyat selama ini.
“Perlu diingat, ketika menjadi Perdana Menteri keempat, Mahathir tidak berdepan dengan media sosial yang kini menjadi salah satu sumber bacaan dan penyebaran maklumat sama ada betul atau tidak kepada masyarakat.
“Penggunaan media sosial telah wujud pada 1999 iaitu pada penggal akhir Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat cuma ia masih belum berpengaruh,” katanya.
Landskap
Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr. Sivamurugan Pandian berkata, sejak melepaskan jawatan 14 tahun lalu, Mahathir telah memerhatikan landskap politik Malaysia dan terus bertindak selepas mendapati apa yang berlaku bukan seperti yang beliau harapkan.
Katanya, Mahathir seperti ingin memperbaiki dan memperkukuhkan apa yang dia gagal laksanakan ketika dan selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri keempat.
“Kini terdapat pelbagai kelompok kumpulan sasar dengan tetapan minda yang berbeza. Rakyat menunggu 60 janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari PH memerintah seperti yang terkandung dalam manifesto bertemakan kesejahteraan rakyat sepanjang kempen PRU-14,” katanya.
Tambahnya, janji PH untuk menghapuskan GST, meringankan beban, menangguhkan pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan menyiasat pelbagai jenis skandal sentiasa ditunggu rakyat.
Menurut Sivamurugan, pada era pemerintahan 2.0, Mahathir perlu memberikan tumpuan ke arah pembentukan modal insan berbanding pembangunan fizikal ketika zaman 1.0.
“Sebab itu kita lihat untuk fasa pertama, Mahathir telah menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan yang berperanan memberi pandangan mengenai keadaan ekonomi negara dengan tujuan menstabilkan kedudukan dalaman supaya dapat meyakinkan pelabur asing,” katanya.
Ujarnya, sebaik sahaja dapat menstabilkan ekonomi, Perdana Menteri dijangka meneruskan pembangunan fizikal pula yang juga dilihat penting untuk meyakinkan pelabur luar.
“Tambahan pula, walaupun pasukan Mahathir baru pertama kali menjadi menteri, mereka mempunyai pengalaman mentadbir negeri selama 10 tahun seperti Guan Eng dan Mohamed Azmin. Peluang harus diberikan dan kita tunggu pula apa pula yang akan berlaku selepas 100 hari,” katanya.