Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, ingatan tersebut diberikan selepas pihaknya telah mengenakan tindakan terhadap seorang pengusaha kantin di sebuah sekolah menengah di daerah ini hari ini selepas gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, di dapati pengusaha kantin tersebut gagal mempamerkan tanda harga pada makanan dan minuman yang dijual di premis berkenaan.
"Alasan yang diberikan oleh pengusaha ini adalah tanda harga yang ditempah belum siap. Namun kita tidak menerima alasan tersebut, kompaun dibawah Peraturan 3(1) Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit 1993 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 telah dikeluarkan kepada pengusaha kantin itu.
"Tindakan ini bukan sahaja salah, malah ia turut mengelirukan pelanggan terutamanya pelajar sekolah. Oleh itu penting tanda harga ini kerana sekurang-kurangnya ia membantu pelajar dan ibu bapa merancang perbelajaaan harian sekolah anak mereka," katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui pada pemeriksaan di beberapa buah sekolah rendah dan menengah sekitar Seksyen 27 dan Alam Megah di sini hari ini.
Turut hadir, Penyelia Kanan Bahagaian Kesihatan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Zulkifli Ahmad.
Mengulas lanjut, Azman berkata, lebih 75 buah kantin telah diperiksa daripada keseluruhan 939 buah sekolah rendah dan menengah sejak Isnin lalu.
"Pemeriksaan yang dilakukan ini adalah susulan daripada rungutan ibu bapa dan penjaga berkenaan harga makanan yang tidak munasabah telah dikenakan," ujarnya.