Keputusan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan kaedah apungan yang sepatutnya dijadualkan bermula 1 Januari lalu menambah resah pada rakyat.
Hari ini, akhbar Oriental Daily pula melaporkan harga RON95 mungkin akan diturunkan antara 20 sen sehingga 27 sen seliter.
Akhbar berbahasa Cina itu yang memetik sumber berkata, perkara tersebut akan diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng esok.
Menurut laporan itu lagi, keputusan itu dicapai setelah para menteri berbahas secara hangat dalam mesyuarat kabinet yang diadakan selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dengan wakil Persatuan Peniaga Minyak Malaysia (PDAM).
Malah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga ada mengumumkan bahawa harga minyak baharu akan diketahui selewat-lewatnya esok.
“Keputusannya sudah ada. Tunggu sahaja keputusan rasmi yang akan diumumkan selewat-lewatnya esok,” katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran program Tesco Ong Mali 2019 di Tesco Kepong Village Mall di sini hari ini.